Wednesday, 12 April 2017

PAS TIDAK GENTAR

Sejak berpisah daripada Pakatan Rakyat, PAS dicari di mana sahaja. Apa sahaja liuk lintuk PAS pasti menarik perhatian lawannya. Ada sahaja tindakan PAS yang dianggap menongkah arus.

Namun begitu PAS tetap melangkah dengan penuh gagah perkasa, sehingga membuatkan lawan sentiasa resah tak senang duduk. Langkah siasah PAS sentiasa dipertikai namun kemudiannya membuahkan hasil yang cukup lumayan buat PAS. Maka menjadilah PAS itu sesuatu yang ganjil dan asing pada pandangan lawannya.

Sabda Nabi saw nampaknya memberikan gambaran yang tepat dalam memahami keadaan PAS sekarang ini.

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ وَابْنُ أَبِي عُمَرَ جَمِيعًا عَنْ مَرْوَانَ الْفَزَارِيِّ قَالَ ابْنُ عَبَّادٍ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ عَنْ يَزِيدَ يَعْنِي ابْنَ كَيْسَانَ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Maksudnya : “Muhammad bin cAbbad dan Ibn Abi cUmar telah berkata kepada kami daripada Marwan al-Fazari, Ibn Abbad berkata Marwan telah menceritakan kepada kami daripada Yazid iaitu Ibn Kaisan daripada Abi Hazim daripada Abi Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda : Pada awal munculnya Islam merupakan sesuatu yang asing, dan akan kembali menjadi asing seperti permulaannya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing”.

Berpandukan hadis ini, menunjukkan bahawa PAS tidak pernah gentar atau takut untuk terasing daripada minda dan pemikiran yang berlawanan dengannya selagi menepati kehendak dan hukum syarak dalam Islam. Selagimana boleh di bawa undang-undang Allah aka undang-undang Islam, maka PAS tidak segan silu akan membawanya ke atas setakat mana termampu dalam ruang lingkup yang begitu terhad. Andaikata ruang yang ada sekarang sudah penuh dan cukup sempit, maka PAS akan bertenang dahulu sehingga ruang terbuka dan dalam masa yang sama berusaha pula untuk merintis jalan-jalan untuk ke hadapan.

Secara umumnya hadis di atas menjelaskan bahawa sesuatu yang asing itu tidaklah bermaksud memiliki jumlah yang kecil atau terpinggir, bahkan memberi pengertian sesuatu yang berlainan daripada yang lain. Begitu juga apabila dikatakan bahawa umat Islam akan menjadi asing, tidak bermaksud menjelaskan tentang keadaan umat Islam yang hidup dalam satu kelompok kecil dan terasing. Bahkan memberi gambaran keadaan hidup yang berlainan daripada pola hidup masyarakat lain yang tidak mengamalkan Islam.

Nabi SAW menggambarkan peristiwa yang akan terjadi selepas kewafatan baginda. Benarlah apa yang disabdakan oleh baginda di dalam hadith ini. Hari ini sunnah Nabi SAW bukan sahaja dipandang hina oleh masyarakat non-Muslim, bahkan masyarakat Islam sendiri turut menghina ajaran yang dibawa oleh baginda. Justeru, tidak hairanlah jika orang yang sanggup menghadapi zaman fitnah ini dijanjikan dengan keberuntungan oleh Nabi SAW.

PAS mengambil pendekatan Istiqamah sebagaimana yang disebut di dalam surah al-Ahqaf ayat 13 dan 14 yang berikut ;

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ. أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ.
"sesungguhnya orang yang berkata 'Tuhan kami ialah Allah' kemudian mereka beristiqamah, maka tidak ada ketakutan ke atas mereka dan mereka tidak akan bersedih. Mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya sebagai balasan di atas apa yang telah mereka lakukan".

Justeru itu dapat ditegaskan di sini, PAS tidak akan pernah takut atau gentar dengan sebarang provokasi dan permainan pihak lawan. Sememangnya PAS telah begitu masak dengan segala tingkah dan biji buah lawannya, samada kumpulan lama atau kumpulan baru yang bernaung di bawah kumpulan lama. Silakan semuanya, PAS tidak bongkak tapi kalau tersalah tingkah dengan PAS, maka jangan salahkan PAS kalau nanti tertiarap menyembah bumi.

Buat seluruh ahli PAS di Malaysia, siiru 'ala barakatillah. Wallahu 'alam.

Abu Turab
13 April 2017
AT002/2017
Mampu Centre

No comments:

Post a Comment

Info Kuala Kangsar