PAS adalah sebuah jamaah Islam yang telah berjuang lama dulu untuk Islam dan demi Islam. Sebuah jamaah yang intima'nya adalah untuk mempertahankan aqidah sehingga ke titisan darah terakhir.
Dalam masa yang sama PAS turut bersama dalam aktiviti kemanusiaan di dalam dan di luar negara melalui amilinnya samada secara rasmi atau tidak rasmi. Bermaksud akan ada sahaja mereka yang di dalam jamaah ini yang saling kuat memperkuatkan. Seperti mana firman Allah swt yang dalam surah as saff ayat 4;
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
Menurut Qatadah di dalam tafsirnya firman Allah swt katanya; “Adakah kamu tidak melihat pemilik sebuah bangunan, bagaimana ia tidak suka berlaku keretakan di dalam binaannya. Begitu juga Allah tidak menyukai sesuatu percanggahan dan perselisihan dalam urusan agamaNya. Allah mengajar tentang barisan muslimin di dalam peperangan mereka dan barisan di dalam solat mereka. Justeru kamu hendaklah menuruti perintah Allah untuk mencapai kejayaan dan kemenangan. (Ad-Dur Al-Manthur)
Jelasnya Allah swt menyukai barisan yang mengangkat panji agamaNya, menolong dakwahNya dan menyebarkan fikrahNya hendaklah menjadi satu binaan yang mana batu batanya saling tolong-menolong, kukuh-mengukuh dan pegang-memegang antara satu sama lain serta setiap batu bata menjalankan peranan dan fungsi masing-masing dan menutup kelompangannya. Ini kerana sesuatu binaan seluruhnya akan ranap sekiranya batu bata terpisah dan tercerai dari tempatnya sama ada terkehadapan atau terkebelakang..dan sekiranya batu bata tersebut terpisah dari pegangan batu bata di bawahnya atau di atasnya atau di sebelahnya.
Sesungguhnya ianya adalah suatu gambaran tentang hakikat sebenar dan bukan semata-mata gambaran kosong..Gambaran tentang tabiat sebuah jamaah dan tabiat ikatan yang kukuh antara anggota di dalam sebuah jamaah..Iaitu ikatan perasaan, ikatan pergerakan di dalam system yang tersusun dan menuju kepada matlamat yang tersusun. (Fi Zilal)
Justeru, sekiranya kita benar-benar cintakan Allah dan bersungguh-sungguh mengharapkan keredhaanNya, maka kita hendaklah mengutamakan kecintaanNya mengatasi kecintaan kita. Kecintaan wajib diutamakan. Mendahulukan kehendak kekasihmu mengatasi kehendakmu sendiri, mendahulukan apa yang disukai oleh kekasihmu mengatasi yang disukai oleh dirimu sendiri. Oleh itu, sekiranya Allah menyukai seorang hamba yang berperang dalam bentuk seperti yang dinyatakan, maka orang yang tidak mengutamakan apa yang disukai Allah mengatasi kesukaan dirinya sendiri, ia sebenarnya telah memisahkan diri dari mendapat kecintaan Allah. Orang yang tidak memperolehi kecintaan Allah, maka ia akan ditimpa kerugiaan dan kebinasaan yang lain. (Lataif al-Isyarat)
Inilah yang diperaktikkan oleh jamaah Allah ini, mengenepikan segala unsur liberalisme dan pluralisme dan segala macam unsur yang bertentangan dengannya.
Dan atas faktor itu jugalah maka ahli jamaah ini cuba untuk memenuhi kehendak Allah swt di dalam surah al-Asr iaitu;
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)
”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran”.
Maka wahai ahli PAS, mari kita perkukuhkan dan persatukan intima' kita agar kita bakal selari atas dasar intima' yang benar. Selagi dasar perjuangan jamaah ini masih lagi dengan dasar Islamnya, selagi gerak kerja ini masih atas tuntutan untuk memenangkan Islam, mengapa kita mesti berpisah dengan jamaah ini.
Cukuplah Allah swt menjadi saksi atas niat dan tindakan kita untuk memperjuangkan, memperkasakan, mempertahankan, memperluaskan ruang lingkup Islam ini khususnya di Malaysia.
Kita bergerak dengan kepelbagaian strategi yang telah diatur untuk memastikan binaan Islam itu bukan sahaja indah bahkan teguh dan mantap. Wallahu 'alam bissawwab.
Abu Turab
15 April 2017/1.38 am
AT003/2017
MAMPU Centre
No comments:
Post a Comment