Realiti politik hari ini adalah politik yang dipenuhi dengan fitnah, samada dari luar dan juga dari dalam. Mentaliti politik yang berusaha untuk menjatuhkan antara satu sama lain dibentuk oleh pelbagai faktor yang tidak sihat.
Antaranya adalah sikap berhati-hati yang melampau dan bersifat tergesa-gesa sehingga tidak memikirkan mudarat kepada sahabat sejamaah.
Semua ini adalah hasil gambaran dan siasatan yang salah dan serkap jarang sehingga menganiayai sahabat sendiri. Puncanya adalah menerima dan memproses maklumat dari pelbagai persepsi tanpa r&d dan menuduh secara membuta tuli berdasarkan pandangan dan 'hearsay' serta diolah mengikut pemikiran sendiri.
Akhirnya individu tertentu tersilap pilih dan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam organisasi politik.
PAS tidak terlepas daripada gejala ini di mana umpan-umpan musuh politik PAS yang dilambung melalui gambar-gambar melalui media massa diambil cakna tanpa tapisan dan penyelidikan sehingga akhirnya berlaku keraguan dan tuduhan yang tidak benar di dalam PAS. Sedangkan senario itu asalnya dimainkan oleh pemain-pemain politik lawan untuk mengkucar kacirkan politik PAS.
Ahli PAS yang benar-benar istiqamah dalam perjuangan ini sepatutnya mempertimbangkan soal dosa dan pahala, kerana kita berbeza daripada parti politik lain dari segi intima' dan bentuk perjuangan. Intima' ahli PAS adalah intima' bersifat mempertahankan aqidah dan syariat Islam yang mementingkan nilai-nilai murni terutamanya dengan ahli jamaah sendiri.
Kaedah kita dan prinsip kita bukan untuk kepentingan peribadi dan bukan untuk menaikkan mana kroni sehingga saling menjatuhkan antara satu sama lain. Sebarang kekeliruan mestilah dirungkai mengikut cara yang islami. Bukan secara semberono dan membuta tuli tanpa memikirkan implikasi ukhrawi.
Pimpinan jamaah seharusnya bertindak atas kegairahan ahli yang sayangkan jamaah. Prinsip wasatiyyah seharusnya dipraktikkan dalam setiap tindakan yang bakal keluar dari lisan dan tindakan kita agar segala yang keluar nanti membuahkan pahala dan bukannya dosa.
Alangkah malangnya apabila melihat sesuatu kekeliruan maka semua dari kita hanya berdiam diri dan dalam masa yang sama membuat tuduhan yang belum tentu benar.
Justeru itu menjelang pilihanraya umum ke 14 ini, kita sebagai ahli sebuah harakah perjuangan Islam, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan bersama menyusun jentera untuk menghadapi segala cabaran dan halangan dengan mempertimbangkan soal dosa dan pahala.
Siiru 'ala barakatillah...wallahu 'alam...
Abu Turab
4 Mei 2017