Menjadi ahli PAS zaman ini tidaklah semudah yang disangkakan. Untuk menjadi ahli PAS, terpaksa melalui sesi pemfitnahan daripada parti lawan hampir setiap detik yang ada. Semua anak panah kini dihalakan kepada PAS, baik ulama-ulama PAS, baik pimpinan-pimpinan PAS atau ahli-ahli PAS sendiri yang berada di bawah. Namun keteguhan dan kekuatan iman semua ahli PAS ini telah memberi satu keajaiban kepada PAS itu sendiri di mana makin dikata, makin dituduh, makin dicerca dan sebagainya, maka makin kuatlah PAS dalaman dan luarannya.
Imam Syafi’i (Rohimahullah) pernah ditanya oleh salah satu muridnya tentang bagaimana caranya kita mengetahui pengikut kebenaran di akhir zaman yang penuh fitnah?.
Jawab beliau,
” Perhatikanlah panah-panah musuh (ditujukan kepada siapa) maka akan menunjukimu siapa pengikut kebenaran”…
Apa sahaja fitnah dan caci maki yang tidak dilalui oleh PAS? Puak-puak yang memfitnah PAS ini pula berusaha sekuat tenaga dan menguras segala akal fikir untuk menjatuhkan dan memalukan PAS. Terkini fitnah terbaru adalah ada pemimpin PAS kononnya menerima dana dari wang 1MDB dan sebelum itu fitnah 90 juta. Dan percayalah isu ini tidak akan berhenti sebagaimana isu-isu yang lain. Sebagai contoh, isu 90 juta di mana PAS didesak untuk menyaman sesiapa yang menuduh PAS, maka PAS setelah beberapa lama meneliti isu ini, mula mengambil tindakan untuk menyaman para pemfitnah ini. Namun fitnah 90 juta itu tetap berjalan.
Maka sudah pasti isu penerimaan wang 1MDB ini juga akan berjalan laju dimulut-mulut dan tangan-tangan para pemfitnah ini.
Apa sahaja yang PAS boleh lakukan melainkan menyerahkannya kepada pihak berwajib untuk disiasat samada benar atau tidak.
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga dahulu difitnah dengan isu seks dan rasuah dan isu tersebut tidak dapat dibuktikan sehingga sekarang. Maka seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS janganlah gusar dan melatah, jangan kita turut sama seperti mereka yang menyerang kita dari setiap sudut. Inilah masanya kita meneruskan kerja dakwah dan siasah kita kepada masyarakat. Biar mereka leka dengan gerak kerja fitnah mereka, biar mereka terkinja-kinja mengutuk dan mengata PAS, sememangnya itulah ujian yang mesti dilalui oleh setiap dari kita yang cintakan perjuangan Islam ini. Selagi dasar Islam masih kekal dalam perlembagaan PAS, maka selagi itulah kita akan menyerahkan segala-galanya untuk perjuangan ini.
Apa yang mereka mahu adalah PAS leka menjawab segala kekusutan fitnah ini sehingga PAS tidak berupaya untuk membuat kerja dakwah, sehingga PAS menjadi huru hara dan saling tuduh menuduh antara satu sama lain.
Sesungguhnya tohmahan-tohmahan yang dituju kepada PAS ini adalah sebagai pemangkin kepada PAS itu sendiri untuk lebih maju ke hadapan dengan tegap dan mantap.
Buat para pemfitnah, teruskan usaha kamu dan kami tunggu kamu di muka pengadilan Allah nanti.
Tongkat Sunan
8 April 2017
No comments:
Post a Comment