Monday, 24 April 2017

Intima Yang Benar

Saya mestilah tahu sejauh mana ertinya saya menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam:-

Penggabungan diri ke dalam gerakan Islam bukanlah hanya setakat mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli dan mendaftarkan nama sahaja. Bukan hanya setakat berulang alik ke markas dan kelab-kelab gerakan Islam untuk menghadiri perhimpunan saja, malah penggabungan ini mestilah membawa pengertian yang lebih jauh, melewati batas formal dan penilaian-penilaian lahiriah yang dapat membuktikan kedalaman aqidah dan kekuatan hubungan pemikiran dan tanzim.

Penggabungan (intima') aqidah. 
Perkara pertama yang mesti kita ketahui apabila kita menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam ialah sejauh mana kita melarutkan aqidah gerakan Islam itu ke dalam diri kita, kerana gerakan Islam menolak intima' (penggabungan) yang dilakukan pada zahirnya sahaja, sebagaimana yang berlaku dalam pertubuhan-pertubuhan yang hanya mementingkan soal-soal struktur kepimpinan sahaja, yang mana keadaan ini telah menjadi kuman yang telah menyebabkan kehancuran pertubuhan-pertubuhan tersebut. Oleh itu (penggabungan) diri ke dalam gerakan Islam pertamanya adalah membawa erti penggabungan diri dan menganuti agama Islam itu sendiri.

Keadaan ini seterusnya menuntut supaya seluruh perintah Allah ditaati di samping mengharapkan keredaanNya. Ini akan dapat mengelakkan penggabungan diri ke dalam gerakan Islamiah itu dari terjejas oleh kematian seseorang atau kehilangan mereka dari medan da'wah kerana sesuatu sebab, kerana intima' ke dalam gerakan Islam akan menjadikan seseorang itu terikat dengan Allah, demikian juga perhimpunan anggota gerakan Islam turut terikat dengan Allah. Inilah yg menjadi rahsia di sebalik kekal dan berterusannya gerakan da'wah Islamiah.

Gerakan Islam juga menolak intima' (penggabungan) diri yang dibuat secara melulu yang didorong oleh semangat, kerana Islam adalah cara hidup yang tegak di atas dasar kefahaman yang tertentu tentang alam insan dan kehidupan, juga kerana beramal untuk Islam adalah bermatlamatkan untuk melaksanakan method hidup yang dikehendaki oleh Islam dalam masyarakat, pelaksanaan yang lahir dari kefahaman, ketelitian dan secara objektif. Oleh itu kesedaran yang bersifat keakidahan, kesedaran yang bersifat haraki dan iltizam yang bersifat ilmi adalah menjadi syarat bagi penggabungan diri ke dalam gerakan Islam. Syarat ini mestilah larut dalam diri seseorang.

Malah keteguhan pendirian seseorang dalam da'wah, keteguhan seseorang dalam melakukan kerja-kerja da'wah juga untuk menjamin beliau kekal terus dalam satu arus gerakan Islam dan dapat mencapai penghasilannya adalah mewajibkan wujudnya kefahaman yang betul dan kesedaran yang waras terhadap pengertian penggabungan diri ke dalam gerakan Islam. Kebanyakan mereka yg kandas di pertengahan jalan da'wah atau siang-siang lagi telah meninggalkan jalan ini ialah mereka yang menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam secara melulu dan bertindak didorong oleh semangat kerana tekanan keadaan-keadaan tertentu, sedangkan mereka tidak memahami apakah ertinya mereka menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam. 

Penggabungan (intima') masa depan.
Satu perkara lagi yang semestinya wujud dalam penggabungan diri seseorang ke dalam gerakan Islam ialah penggabungan masa depannya ke dalam gerakan atau dalam kata lain, penggabungan masa depannya dengan masa depan gerakan. Ini membawa erti bahawa seseorang yang menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam mestilah mengikat masa depannya dengan masa depan jamaah walau apapun keadaan yang akan berlaku. Penggabungan tersebut mestilah tidak terikat dengan satu jangka waktu yang tertentu dan akan berakhir apabila jangka waktu itu telah tamat.

Penggabungan itu juga tidak seharusnya terikat dengan satu keadaan tertentu dan akan berakhir dengan berakhirnya keadaan-keadaan tertentu itu. Penggabungan diri ke dalam gerakan Islam mestilah tidak terbatas dalam masa muda dan sebelum berumahtangga dan menarik diri setelah menjangkau peringkat dewasa dan berumahtangga. 

Penggabungan diri ke dalam gerakan Islam mestilah tidak dibataskan oleh keadaan kemiskinan dan kesusahan dan akan menghilangkan diri setelah kaya dan senang. 

Penggabungan diri tidak hanya terbatas dalam keadaan tenang dan damai tetapi cabut lari sewaktu ditimpa dugaan dan bala.

[Utz Fathi Yakan]

No comments:

Post a Comment

Info Kuala Kangsar